Wednesday, November 12, 2008

Mazda RX-8


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my
MODEL kereta sports ikonik dari pengeluar Jepun, Mazda Corporation ini mula menggemparkan pasaran automotif dunia pada tahun 2003. RX-8 telah memenangi lebih 40 anugerah dan terjual sebanyak 170,000 unit sehingga kini.

RX-8 dilihat sebagai satu model yang memperkenalkan konsep serba baru buat segmen kereta sports. Reka bentuknya memiliki gaya jentera sports empat pintu dengan empat tempat duduk yang sangat revolusionari. Apatah lagi pembaharuan itu melibatkan aspek kejuruteraan terhadap enjin, transmisi, sistem suspensi, selain bahagian dalaman dan luarannya. Bercakap tentang jentera berprestasi tinggi keluaran Mazda, apa yang tidak boleh ditinggalkan ialah enjin legendanya iaitu enjin rotary dua rotor bersesaran 1.3 liter.

REKA bentuk sporty dan aerodinamik menyerlahkan kehebatan RX-8. Modifikasinya hampir membuatkan enjin ini seolah-seolah sebuah enjin baru. Enjin yang dikenali sebagai Renesis ini sebenarnya lebih kompak, ringan dan berkuasa. Antara perubahan tegarnya ialah sistem gas seal lubrication bersifat mekanikal yang begitu penting buat enjin rotary telah ditukar kepada jenis elektromagnetik berketepatan tinggi. Enjin penuh kuasa ini dipadankan dengan transmisi Activematic enam kelajuan yang tampil bersama ciri Direct Mode yang baru dibangunkan.

Sementara sistem suspensinya meliputi double wishbone dengan torsion bar dan penstabil jenis tubular pada roda hadapannya. Roda belakangnya pula mengaplikasikan sistem suspensi jenis multi-link dengan torsion bar dan penstabil jenis tubular. Talaan sistem suspensi ini dibuat bagi memberikan kestabilan pemanduan, brek dan keselesaan paling optimum ketika berada di dalam kabin.

Jentera berkuasa ini ditawarkan pada harga RM239,966 (bersama insurans) menerusi lima pilihan warna iaitu merah, putih, hitam, kelabu dan perak.